August 06, 2004

Cerita Tentang Persahabatan Yang Dilupakan

Semalam saya menerima sebuah email dari seorang sahabat. Semalaman saya berfikir tentang kebenaran kata-kata yang tertera dari emailnya. Lantaran itu, pagi ini saya mengambil keputusan untuk mengulas tentang Sebuah Persahabatan yang Dilupakan.
Kami mengenali sebuah persahabatan yang indah kira-kira 5 tahun yang lalu. Segala-galanya ada dalam persahabatan ini. Keseronokan, Ketawa, Cinta dan Kasih Sayang, Musik yang sama, Sinetron yang sama, Kejujuran, Kepercayaan, Kekeluargaan dan Kehidupan Sebenar. Bermula dari 6 orang ganjil, kemudian berkembang menjadi sebuah carta alir yang sangat luas akarnya.
Dalam tempoh itu, kami puas menjalani kehidupan riang dan gembira sebagai sahabat. Masalah seorang, adalah masalah semua. Sakit seorang, adalah sakit semua. Gembira seorang adalah gembira semua. Sebut apa saja yang diinginkan, nescaya tak lama kemudian pasti ada sahabat yang menghulurkan keinginan itu tidak kira melalui pos mahupun by hand. Pendekata tiada yang lebih mahal daripada nilai sebuah persahabatan ini.
Namun, langit tidak selalu terang, air tidak selalu tenang. Maka, dengan sedikit badai saja bahang kasih sayang dalam persahabatan ini mulai beransur surut sedikit demi sedikit. Bermula dengan seorang, kemudian seorang demi seorang mula menarik diri dan berlalu pergi dari rumah persahabatan ini.
Kenapa mesti ada perpisahan setelah menjalinkan pertemuan?
Semua ini terjadi adalah kerana ada irihati, percakapan keterlaluan, saling tidak mempercayai dan kebosanan yang tidak dapat dibendung. Benarkah kata mereka, persahabatan ini menjadi dingin kerana kita semua sudah terlalu bersama? Karut!!! Janganlah mencari alasan yang sia-sia untuk melepaskan diri dari persahabatan ini. Jangan jadikan 'TERLALU LAMA BERSAMA' sebagai punca kebosanan. Andainya itu yang dipahatkan dalam hati, nescaya bukan saja persahabatan, malahan perkahwinan kamu juga boleh menjadi sesuatu yang merugikan. Kahwin selama 5 tahun dan mula merasa bosan terhadap pasangan kerana alasan 'sudah terlalu lama bersama'.
Selain daripada itu, kemunculan 'khalayak sampah' secara tidak sengaja mungkin juga menjadi faktor kepada runtuhnya persahabatan ini. Memang betul kata orang, berkawan biar beribu..tapi tengok jugalah ciri 'kawan' yang beribu itu. Adakah benar-benar sesuai dijadikan sahabat, bolehkah dia meminjamkan bahunya ketika kamu menangis kesedihan, bolehkah dia dipercayai saat kamu meluahkan rahsia berat kepadanya dan bolehkah dipercayai kata-katanya saat dia bercerita sesuatu kepada kamu..?
'Khalayak sampah' yang muncul secara bersih pada awalnya, mula bertukar menjadi kotor setelah beberapa ketika berada dalam persahabatan ini. Sikap hasad dengki kerana terasa diabaikan dan tidak diterima menjadi ahli keluarga menyebabkan khalayak sampah mula melaga-lagakan sesetengah pihak dengan pihak yang lain. Walaupun dalam hati masih terasa sayang kepada persahabatan yang telah terjalin selama 5 tahun, namun demi ego dan mahu dihormati oleh 'yang baru' maka seseorang itu mengambil keputusan untuk menarik diri dari terus bergelar sahabat. Saat itu, mereka lebih senang dengan gelaran 'kawan' atau 'kenalan lama' sahaja.
Lebih teruk lagi, kerana terlalu ingin menguasai, maka ada sesetengah pihak yang sanggup menabur fitnah terhadap sahabat yang lain. Berpura sebagai seorang sahabat yang berniat baik dan berhati suci, menganggap kata-kata yang dikeluarkan adalah untuk menyelamatkan sahabat lain daripada terus ditipu oleh seorang sahabat lain sedangkan hal yang sebenarnya adalah khayalan semata-mata. Setengahnya pula, sanggup berpura sebagai orang yang ditindas semata-mata mahu mengambil perhatian dan disayangi oleh orang lain. Jahanamlah engkau jika engkau orang seperti itu. Hilang sahabat seperti ini tidak menjadi kudis malah hilang orang seperti ini umpama hilangnya sel barah yang boleh membunuh.
Hati siapa yang tidak sedih, hati siapa yang tidak terluka bilamana sahabat yang dulu pernah tidur sebantal, makan sepinggan dan minum secawan pada hari ini tidak lagi memandangmu dengan pandangan yang mesra dan gembira. Sebaliknya jelas pada pandangan mata akan raut wajah yang tidak selesa, senyuman berpura dan tingkahlaku yang serba tak kena saat berhadapan atau berada berhampiran dengan sahabat yang lain.
Berbaloikah membuang sebuah persahabatan demi sombong yang tidak bertempat?
Persahabatan, semoga kamu semua menghargainya pada hari ini, kerana jika tiada esok bagimu sebuah persahabatan, maka jangan kau nanar mencarinya...

3 comments:

Anonymous said...

tiada lagi sebuah kisah klasik untuk masa depan?

Anonymous said...

dan kalaulah menjauhkan diri sementara waktu untuk memujuk hati sendiri yg memendam rasa tersinggung demi menjaga sebuah persahabatan, dan berharap semuanya akan pulih sendiri seperti dulu kerana tak mahu kehilangan-juga dianggap sebagai melupakan persahabatan, maka bersalahlah aku.sgt bersalah berbanding dgn mereka yg pernah meyakiti kau dan mengulangi kesilapan yg sama bertubi2-tapi kemudiannya boleh diterima kembali dgn hati terbuka. bukan menyimpan dengki, cuma sedih kerana nampaknya aku kurang bernasib baik.tidak seperti mereka itu.bila niat mula disalahtafsir, kata2 mula diragui maka aku bukanlah lagi layak dipanggil sahabat. mungkin akulah kesilapan paling besar yg pernah kau lalui seumur hidup.maafkan aku kalau aku ialah salah seorang atau satu2nya org yg melupakan persahabatan mcm apa yg kau maksudkan itu.satu akhiran yg tak pernah aku mahukan.aku-NORMAINI.

Anonymous said...

Siapa gerangan agaknya 6 orang ganjil tuh?