April 18, 2005

Balik JB

Letih btul aku hari nih..penat..mengantuk...lapar..biji mata aku pun dah mula berpusing2..kepala aku pun terasa berat...pening btul..macam nih la rupanya kalau aku tak cukup tido.
Jumaat lepas, habis je keja..aku terus cabut balik JB. Balik umah suami aku..dia tinggal dengan family dia..aku balik JB naik bas aje..jimat sket..melaka-jb pegi balik kalo bawak keta mau habis rm100..aku naik bas pegi balik baru perabis rm24.60..siap boleh tido lagi...3 jam perjalanan...
aku abis je keja jumaat hari tu (kul 6ptg), abah aku dah tunggu..aku mmg suh dia amek aku sebab lepas tu dia kena hantar aku pgi melaka sentral..aku naik bas Jebat pukul 6.30 ptg. Naik je bas tak sampai highway aku tido..
Dalam pukul 9 mlm bas tu berenti rehat kat yong peng. dia berenti kat satu kedai makan misteri (sebelah lucky garden) kedai tu taukey cina tapi ada satu side tu jual makanan melayu la..seram btul aku dok situ..dia pasang lagu cina yang bunyi ala-ala dalam tokong...pastu ada pulak suara2 harmoni yang backup lagu tu..kira macam dikir barat cina laa..serius shit seram!! bulu tengkuk aku dah meremang2 dah..aku tak turun pun, dok je dalam bas...habis je lagu tu, sambung pulak lagu lain..lagu cina gak..lagi seramm dari yg mula2 tadi..aku rasa macam ada hantu cina berkeliaran je time tu...dah la gelap dalam bas tu..celake btul! yang buat aku rasa nak ketawa, tengah2 lagu seram2 tu..tetiba aje keluar lagu peterpan (dan mungkin bila nanti...bla..bla..blaa...) sampai habis pulak tu..aku rasa kan, mesti anak perempuan taukey kedai tu minat kat peterpan..tu yang dia tetiba record lagu peterpan dalam kaset lagu tokong ayah dia...hihihi!!
Bas gerak je, aku sambung tido balik..aku sampai jb dalam kul 10mlm..suami aku dah tunggu dah kat depan fucking donat kat larkin tu (eheh!). dia dah janji nak bawak aku makan bubur nasi kat sentosa..memang marveless!! teringat zaman masa mula2 bercinta dulu...ekeke...masa tu bulan puasa, aku balik je keja part time (masa aku keja kat jusco dulu) bila weekend aje, dia akan amek aku then kitorang pgi sahur makan bubur nasi kat sentosa..aku memang suka sangat makan bubur nasi..sedap wo! sikit punya banyak dia punya lauk sampingan..ada telur asin, kangkung goreng cili, ikan bilis dengan kacang, lobak asin, sambal bawang, ikan jeruk, lala berlada..huhhh!!! terangkat gua cakap luuu!! (air liur aku pun meleleh masa menaip semua ini)
aku sampai je umah mertua aku dalam kul 11 lebih..letih gile, lepas mandi, gedebak gedebuk aku terus tido..
Aku bangun je pagi tu dah dengar suara anak2 buah aku.. (anak kakak ipar aku) punyalah riuh rendah..padahal 3 ekor aje..diorang memang suka lepak umah mertua aku..pakcik2 ngan makcik2 diorang sume suka melayan..lagi pun, adik beradik suami aku sume muda2 lagi..dia anak yg ke 3/4(kembar) so yang bawah2 dia tu sume muda2 remaja lagi..jenis suka menyakat dan memanjakan anak buah...budak2 tu panggil aku auntie hawa..(diorang panggil azat, uncle Ajat) secara grafiknya, diorang lebih mesra dengan aku berbanding dilla..sebab aku selalu balik jb (selalu ke? rasanya baru sekali..hehehhe) lagipun, aku jenis suka melayan..dilla tu pendiam sikit..lagipun dia takde adik kecik..aku suka layan budak kecik sebab aku selalu kena jaga si bulat (amnan) dan si daging salai (insyirah) (P/S: KALAU KORANG PENAH BACA PENULISAN AKU SEBELUM2 INI, AKU PENAH CITE PASAL 2 ORANG BUDAK YG MAK AKU JAGA NIH)
Sementara tunggu suami aku balik keja (sabtu kan kerja 1/2 day), aku melayan la diorang..layan tgk kartun la, layan melukis la, layan main solek2 la..bengkok badan aku...penat tapi happy la jugak..yang best sekali, diorang belanja aku makan aiskrim roti..hihi! agaknya balas jasa la tu sebab aku temankan diorang main2.
Dlm pukul 1 lebih suami aku balik keja..aku teman dia makan tengahari...pastu dalam kul 2, abg ipar aku datang amek kakak ipar aku dengan anak2 dia...barulah senyap semula rumah tu....
aku yang dari tadi dah sikit punya mengantuk..tahan je mata..suami aku baru cakap 2-3 patah ayat, aku dah selamat berdengkur..heheee!!!
Lebih kurang pukul 5 ptg aku bangun. Mandi segarkan badan, pastu kemas la apa2 yang patut... pastu aku gosok baju sebab suami aku janji nak bawak aku jalan2 rumah kakak dia..
Mlm tu, lepas jalan2 cari makan, kami pun ronda2 la...lalu depan Xtra Larkin...nampak pulak fun park kat sebelah Xtra tu.. Teringat aku masa malam lepas aku bersanding kat JB 19hb hari tu...memandangkan aku takde cuti yang panjang, utk melepaskan gian sebab aku tak sempat pegi honeymoon, maka aku pun ajak la suami aku berpoya2 main funfair tu..aku memang suka games yang teruja mcm kat funfair tu...walaupun sebenarnya aku seram sejuk jugak nak naik, tapi aku tetap suka.. Macam2 yang aku main..aku lupa la nama game2 tu sume..ada satu tu, aku naik mcm spaceship...sekali tgk macam mainan budak2 tak cukup umur..sekali dah naik...punyalah laju!! macam nak tercabut kepala aku melawan angin...cina2 pompuan yang naik tu dah menjerit2 dah..aku mmg jenis, kalau takut aku tak jerit..aku pejam mata kuat2 aje..tapi mulut aku kumat kamit laa..mcm2 aku baca... kalau korang dengar aku menjerit tu, maknanya aku pura2 teruja la tuh!
lama pulak benda alah tu berpusing...aku ingatkan kejap aje..dalam 15 minit kot? aku pun tak perasan berapa lama...turun aje dari spaceship tu, aku dah terhuyung hayang dah...tapi menten lagi laa..yang kelakar tu, aku tgk suami aku dah siap muntah2..mana la aku tau dia tak boleh main game yang berpusing2 macam tu!! kalau aku tau baik aku ajak dia main baling dart atau baling gelang getah aje... hehe!!
tapi, walau apapun, memang aku seronok la malam tu...Game kat situ pun kira hebat2 la jugak..tapi tak boleh lawan la game yang kat Danga Bay tu....Aku tengok ada satu game tu macam bola lastik..Kiranya, kita duduk dalam bola tu, pastu dia lepaskan lastik tu ke udara..lastik tu mcm bentuk V la..tinggi tiang V tu je aku rasa dah dekat 100 ke 200 meter...bayangkan dia lambungkan bola tu ke udara (tambah lagi 200 meter..) huh!! mau jadi setengah kilometer keudara orang yang dalam bola tu melambung..kecut perut aku tengok!

Hm..balik je rumah, layan tv kejap, pastu terus tido.. Ahad? Tetap saja jadi hari yang membosankan jika terus-terus berada dirumah...! Malasnya nak menulis lagi..nantilah aku sambung... Sekian sajalah

April 07, 2005

Cerpen Pilihan : Aduhai Adura

Bila segala janji menjadi mungkir dan bila setiap patah yang terbit dari sehelai lidah bersulam dusta tiada yang manis lagi pada kasih sayang kita. Setiap detik curiga bernoda. Katamu dulu, sekali kita berbohong akan memungkinkan kali kedua, kali ketiga seterusnya penipuan itu terpaksa kita ulang-ulang. Memang mudah melafazkan ungkapan berbau pepatah, bidalan pun pendirian tapi amat payah untuk mengotakannya.

"Zahim pulang bang." Bagai halilintar berdengung di telingaku bila nama itu disebut. Walaupun aku punya tali yang kukuh yang mengikat Adura tapi hati ini masih terasa goyah. Masih rasa tidak selamat.

"Dura jumpa dia?" tanyaku yang cuba berlaku tenang sedang di hati berkocak tak keruan.


"Dia ada telefon," jawab Adura. "Mana dia tahu nombor telefon di sini?"


"Alah bukannya susah," jawab Adura mudah. Seolah-olah bukan satu kejutan bila orang yang cuba dilupakan muncul semula secara tiba-tiba. "Kami sekadar bertanya khabar." ujar Adura jujur. Dia seakan dapat membaca rasa hatiku. Hanya aku yang mungkin tidak mampu menjadi pasangan yang sesempurnanya. Sering mengabaikan dia dengan pengagihan masa yang tidak adil. Aku lebih memberatkan kerjayaku berbanding dia.


"Tapi abang cemburu." Tiada guna berbohong tentang perasaan sendiri.


"Dura tahu." Jawapan itu seolah menyapu bersih kemerut yang sedang bergerut di kepingan hatiku.

Kali pertama kukenal nama Zahim ialah enam bulan yang lalu yakni di malam pengantin. Di dadaku Adura bercerita tentang Zahim, Kekasih yang terpaksa dilupakan demi menurut kehendak orang tuanya. Pilihan jodoh ibu untukku memang bertepatan. Adura bukan sahaja cantik tetapi seorang anak yang baik. Pengorbanan Adura akan kukenang selamanya dan tidak mungkin kupersiakan.


Sesekali pernah kurasa bersalah kerana mengkhianati cinta Adura pada kekasihnya. Adura terpaksa curang pada Zahim kerana lamaranku. Ah, memang jodoh kami. Dari azali lagi ditentukan Tuhan.


"Dura tak menyesal memilih abang?" tanyaku lembut.


Dia menggeleng kepala. "Dura akan cuba melupakan dia," ucapnya seperti berikrar.


Aku tahu, tak mudah untuk berbuat demikian dalam waktu yang singkat. Memori percintaan yang tersimpul selama enam tahun itu tidak mungkin akan terkikis semuanya. Aku mengerti cuma rasa cintaku mungkin kebahagiaannya. Kebahagiaannya bersamaku akan menghanyutkan kenangan silam. Aku mahu mengganti kasihnya. Aku mahu membahagiakannya. Itulah janjiku.


Adura berjumpa dengan Zahim! Itulah yang tertulis dalam diarinya. Aku dengan tidak sengaja membacanya. Hari demi hari aku menanti supaya dia membuka mulut memberitahu tentang itu. Tapi penantianku tersia. Mungkin tidak penting! Aku cuba memujuk hati. Seorang isteri bertemu secara rahsia dengan bekas kekasihnya bukan sesuatu yang penting? Ah, mengarut!


"Dura, Dura tak bahagia hidup dengan abang?" Aku cuba menyelongkar hatinya, berbicara dari hati ke hati. Selama ini kami sedang belajar mengenal hati budi masing-masing. Kami sebenarnya sedang bercinta. Bercinta selepas kahwin kukira, punya kenikmatan yang lebih asli.


"Abang?" Dia memulangkan kembali soalan itu kepadaku.


"Abang menyintai Dura sepenuh hati." Dia tersenyum. Manis sekali senyuman laksana bulan penuh itu.


"Dura juga bang tapi kadang-kadang Dura terasa kekosongan," luahnya sambil menggenggam erat jemari kasarku. "Dura terasa selalu dipinggirkan oleh kesibukan abang."


Urai rambutnya yang panjang kubelai mesra. "Itu tandanya abang sayangkan Dura, Abang bekerja kuat demi kebahagiaan kita, sayang," ucapku.


"Bila kita nak ada anak, bang?" tanyanya tiba-tiba. Ah, aku selalu tertunggu-tunggu juga berita gembira itu. Ibu dan ayah asyik merisik dariku kalau-kalau Adura muntah-muntah. Mereka tidak sabar lagi untuk menimang cucu pertama.


"Dura tak sabar lagi mahu menjadi ibu?" Aku menduganya.


"Kita bersabar sayang. Tuhan bersama orang-orang yang sabar," ucapku dalam keharuan. Kukira enam bulan sudah cukup lama penantian kami. Kalau kawan-kawan lain, tiga bulan berkahwin sudah mendapat berita gembira, isteri mereka mengidam atau muntah-muntah.


Tiada rezeki lagi. Kata-kata itulah penawar penantianku. Memang aku mahu cepat-cepat menimang cahaya mata. Umurku bukan muda lagi untuk menanti beberapa tahun lagi. Aku bujang terlajak yang puas dipujuk oleh ibu supaya menamatkan zaman bujangku. Akhirnya aku dijodohkan dengan Adura. Gadis desa yang sedang menanti kekasihnya pulang dari luar negara.


Adura bukan orang lain dengan keluarga kami. Bau-bau bacang juga. Ibu tidak mahu memilih orang jauh. Takut susah kalau berlaku sakit pening, katanya. Mungkin aku tiada pilihan sendiri. Jadi kuserah bulat-bulat kepada ibu. Aku tak pandai bercinta. Mendekati perempuan pun aku gementar. Ibu mencari gadis yang mengikut citarasanya. Biarlah asalkan ibu senang.


14 Februari - aku dan Zahim berjumpa lagi. Zahim menghadiahkan sebentuk kerongsang sempena Hari Kekasih ini. Walaupun sekejap pertemuan itu tapi kurasa cukup bahagia...


Diari wangi Adura kubuka lagi tanpa pengetahuannya. Kali ini aku semakin gelisah. Gelisah dan tercabar. Dalam diam kuatur pertemuan dengan Zahim. Memang kami perlu bersemuka sebagai anak jantan. Aku tidak mahu dia merosakkan hati Adura dan menghancurkan rumahtangga kami yang bahagia tanpa rasa curiga. Adura setia padaku sebelum kehadirannya. Adura tidak pernah melanggar hatiku. Dia selalu jujur padaku sejak pertama kali mengenalinya lagi. Tapi segalanya musnah bila Zahim muncul.


"Saya tahu saya yang merampas Adura dari saudara Zahim tapi kini Adura milik saya. Kami bahagia," luahku penuh kematangan.


"Saya tidak pernah terniat untuk mengganggu keharmonian rumahtangga Encik Karlid dengan Adura. Saya gembira bila mendapat tahu Adura bahagia. Adura selalu bercerita tentang Encik Karlid pada saya," tutur Zahim. Tampak perwatakannya seperti orang baik-baik. Aku membuat penilaian pertama.


"Kami sekadar mahu melepaskan rindu yang sekian lama tertanam di hati," sambungnya.


"Saudara Zahim tentu arif soal hukum menemui isteri orang tanpa pengetahuan suaminya bukan?"


Dia mengangguk. "Saya tahu saya berdosa tapi saya tidak berdaya menahan gelora perasaan. Saya masih mencintai dia."


Aduh, terjerut hatiku dengan pengakuan itu. Mahu saja aku meninju mukanya. Tapi aku masih mempunyai kesabaran yang menahan aku bertindak melulu begitu.


"Saya akan cuba melupakan dia," janji Zahim mulus. Anak muda seawal 25 tahun itu berlalu meninggalkan aku sendiri. Anak muda itu punya darah panas yang mudah bergelora. Terlalu mengikut kata hati tanpa mengira akibat di kemudian hari. Dia masih mentah. Maafkan dia! Itulah permintaan hatiku.


"Dura ada berita gembira untuk abang," lembut suara Adura sesungguhnya mencairkan hatiku.


"Boleh abang tahu?" "Dura mengandung, bang."


Kalimat itulah yang selama ini kutunggu-tunggu.


"Sungguh?" Dia mengangguk. Kali ini aku menjerit kegembiraan. Aku akan menjadi seorang ayah dan Adura pula akan menjadi seorang ibu. Tiada siapa lagi yang bisa mengganggu kesejahteraan hidup kami. Aduhai, kegembiraan ini tidak terlukis rasanya. Lengkaplah pohon cinta kami kalau ia berbuah nanti.

Kubelek-belek diari Adura, tiada lagi pertemuan dengan Zahim tertulis di situ. Cuma kegembiraan untuk menimang cahaya mata dicoretkan. Lapan bulan lagi pasti impian kami termakbul. Mungkin Zahim telah mengotakan janjinya. Kalau sebelum ini Adura pernah berlaku tidak jujur padaku, aku maafkan. Kemaafan tanpa seulas pun rasa curiga.


II



Zahim, kau kekasih di hati. Kau pujaan di jiwa tapi seluruh impian kita punah terbakar. Mungkin aku yang bersalah, mengkhianati janji dan sumpah kita. Aku punya ibu dan ayah. Permintaan mereka tidak mampu kulanggar. Melanggar bermakna melukakan hati mereka. Melukakan bermakna aku derhaka, Zahim.


Zahim, aku telah melahirkan Fitri untukmu. Lambang kasih sayang kita. Matanya, alisnya dan hidungnya menyerupaimu, Zahim. Tiada satu pun milik Karlid yang bertindan di wajah anak kita.


Karlid masih lagi bergembira, bermegah-megah dengan zuriat itu. Setiap hari dia merangkul erat Fitri. Kalau Fitri merengek laparkan susu atau hilang keselesaan Karlidlah yang pertama terjaga, menukar lampin, membancuh susu atau mendodoi sehingga Fitri terlena semula. Kadang-kadang aku terbayang wajahmu di wajah Karlid ketika dia menyanyikan lagu buat Fitri. Kalau ditakdirkan mimpi kita serupa seperti yang direncanakan tentu kau akan menyayangi Fitri seperti Karlid menyayangi Fitri. Aku bersalah padamu, Zahim! Maafkan aku...

Air mataku menitis kali ini tatkala menatap surat tulisan Adura yang kukira mahu dikirim untuk Zahim. Kertas berwarna biru yang masih terlekat pada himpunannya itu kuletakkan seperti asalnya. Hatiku terkedu. Aku tidak galak lagi melayan kerenah Fitri walaupun kasihku pada Fitri seperti minyak penuh, seperti air yang mengalir. Kubiarkan dia menangis berpanjangan sebelum diangkat oleh Adura. Seharian aku tidak pulang ke rumah walaupun telefon berdering-dering memanggilku di pejabat.


Dayuskah aku? Peperangan di hati semakin berat melanda. Gambar perkahwinan dalam bingkai kaca di atas meja kudakap di dada. Aduhai Adura, mengapa kau mendustai aku? Waktu kupulang lewat petang itu, aku tidak terus mencium pipi Fitri seperti selalu. Rinduku kepada Fitri hilang tiba-tiba. Adura kehairanan dengan sikap baruku itu.








"Abang dah makan?" tanyanya mendekatiku dan cuba memecat dasi di leherku. Fitri diletakkan di ribaku tapi aku menolak. Adura seperti tersinggung.


"Apa gunanya perkahwinan ini, Dura kalau antara kita hidup dalam kepuraan." Terlalu lama aku dibohongi. Kali ini aku mahu Adura berkata jujur padaku. Jujur seperti dia jujur di malam pertama kami.


"Abang baca surat Durakan? Dura lihat kertas itu seperti rosak," tekanya tepat.


"Mengapa tidak sendiri Dura yang berkata pada abang selama ini," sebakku menghiris hati. Mataku berkaca. Sayangku pada Adura tiada batasnya. Seluas lautan membiru setinggi gunung yang mencapai awan.


"Ya! Dura menipu abang selama ini. Dura berdosa pada abang," ucapnya dalam tangisan yang memilukan. Fitri turut menangis. Tangisan Fitri melenyapkan tangisan Adura.


Lewat petang rumah kami dikunjungi oleh Zahim. Mahu apakah lagi dia setelah meranapkan segalanya?


"Encik Karlid," sapanya ketika aku melangkah ke tangga atas tanpa mempedulikannya. Dia tetamu yang tidak diundang dan dia datang bukan untukku.


"Saya minta maaf." Tangan yang dihulurkan tidak dihiraukan.


"Saya mahu mengambil Adura sebagai isteri saya," ucapnya membuat hatiku tiba-tiba terbakar. Marak dan merah.


"Awak tahu apa yang awak cakap? Sebelum saya halau awak baik awak keluar dari rumah saya sekarang," bentakku kasar dan keras, Zahim akhirnya bangun dan beredar pergi.


Menerima Adura seperti aku mendukung biawak hidup. Aku seperti memijak maruahku sendiri. Maruah seorang lelaki, seorang suami. Ah, apa gunanya perkahwinan ini lagi kalau hanya aku yang berusaha mempertahankannya daripada runtuh.


Segala noda yang tercalit tak mampu kuselindungi lagi. Apa gunanya ikatan suci ini kalau ia bernoda dengan seribu dosa. Berhari-hari kufikirkan tentang masa depanku. Hari-hari bahagia bersama Adura, bersama Fitri yang mati-mati kuanggap darah dagingku sendiri sirna sudah. Aku merintih sendiri.



"Adura, aku maafkan segala dosamu kerana menodai segala harapanku dan meruntuhkan cinta, kasih dan sayangku yang menggunung tapi untuk hidup seperti dulu tidak mampu kulakukan. Aku menyeksamu, Dura. Maafkan aku."


"Abang tak bersalah. Dura yang bersalah. Hukumlah Dura tapi jangan lepaskan Dura, bang! Dura tidak mahu melukakan hati ibu dan ayah," rintihnya.


"Adura, aku ceraikan dirimu," lafazku dengan gementar dan payah. Hanya itu jalan penyudahnya walaupun tiang arasy bergoncang dengan kalimat itu. Aku terpaksa. Kusangka aku sangkar yang membahagiakan tapi rupanya aku adalah penjara yang mengurung, menyeksa hidupnya. Terbanglah Adura setelah besi penjara kuruntuhkan.


"Abang!" Adura memelukku sambil meratap hiba. Aku menolak. Aku tidak layak lagi menerima pelukan itu...










Sehabis eddah kuterima undangan perkahwinan daripada Adura. Air mata lelaki tumpah lagi. Aduhai Adura! Aku tidak mampu membencimu. Oh Tuhan, mengapa terlalu lemah aku? Adura tidak layak dicintai, dikasihi dan disayangi. Berkali-kali aku cuba memujuk hati untuk melupakan Adura. Dia bukan untukku. Dia tidak layak kuletakkan di tempat yang suci itu, menjadi isteri dan berlindung di ufuk kasihku.

Tiga bulan pernikahan itu, aku menerima warkah daripada Adura. Adura mahu kembali kepadaku. Mujur ketika itu aku sudah memiliki Sofia. Juga gadis pilihan ibu. Kalau tidak, tentu terusan aku masih memikirkan Adura dan tidak mustahil kalau hatiku terbuka lagi untuk menerima maaf daripadanya. Kejadian kaum Hawa untuk membahagiakan kaum Adam seperti juga Hawa dijadikan dari rusuk kiri untuk mengisi kesepian Adam di syurga. Baru ini aku merasakannya.


Abang, baru kini Dura merasakan cinta yang dijulang tidak akan ada rasa manisnya tanpa restu yang mengiringi. Dura sangka bahagia akan melimpah hidup bersama kekasih tercinta tapi rupanya anganan itu cuma sekadar mimpi yang berpenghujung. Dura dihina oleh keluarga Zahim. Dura tidak diterima sebagai anak menantu. Fitri tidak diakui sebagai zuriat keluarga terhormat itu. Hidup kami penuh derita, bang! Mungkin ini balasan Tuhan di atas dosa Dura pada abang. Ampuni Dura, bang!


Zahim tidak teguh mempertahankan orang yang disayanginya. Kasih Zahim lerai dan layu. Kami mengambil keputusan berpisah. Hanya itu yang terbaik. Dura mahu merebut semula kasih keluarga tercinta yang terlepas bila memilih hidup bersama Zahim dulu.


Dura mahu kembali pada abang. Kalau perlu mengemis pun, Dura sanggup bang, asalkan langit yang memayung kehidupan Dura kembali cerah seperti dulu. Dura tahu selama ini segala madu yang abang limpahkan, Dura balas dengan tuba tapi berilah peluang untuk Dura menebus segalanya...


Surat Adura lumat di genggaman. Cintanya layu di hatiku kini.

Cerpen Pilihan : Kad merah bertinta emas

Tiba-tiba sahaja Arini berasa seperti disengat lebah. Kad baldu berwarna merah hati dipegang kemas. Tinta berwarna emas dengan kata-kata syahdu menusuk kalbu itu bagaikan sembilu menujah hati Arini. Kad itu memang bertanda tangan suaminya. Malahan ada kata-kata cinta sebagai menguatkan lagi puisi kasih yang sudah sedia tertera di kad itu. Tapi kata-kata manis dan memujuk rayu itu, memang sah bukan untuk Arini. Ia ditulis oleh suaminya untuk wanita lain. Lily buah hatiku! Nama itu yang terpampang cantik di dalam kad tersebut.

Arini hanya mampu memegang kepalanya yang terasa berat. Dia tidak sangka bahawa kad yang bukan ditujukan kepadanya itu, terjatuh juga ke tangannya secara tidak sengaja. Tuhan memang sengaja menguji keutuhan rumah tangganya.

Kalau bukan tulisan suaminya yang sudah hafal di otak Arini terpampang di kad tersebut, mungkin Arini akan menyangkal prasangka buruk itu. Sangat mustahil rasanya Dani bersikap seperti itu. Dani suami penyayang. penuh romantis, sentiasa memuja dirinya dan amat menyintainya dan dua puteri mereka yang sedang membesar. Rania, tujuh tahun dan Dania lima tahun.

Kedua-dua puteri itu tumbuh sebagai anak gadis yang sihat dan jelita. Malahan Dania seperti pinang dibelah dua dengan Arini. Wajah Dania saling tak tumpah seperti wajah Arini 25 tahun dahulu. Ketika gambar Dania dan Arini dalam usia yang sama digandingkan, sukar untuk mencari perbezaan di antara kedua-duanya. Agaknya kerana itulah Dania lebih manja dengan Dani, manakala Rania lebih banyak bergayut dengan Arini. Wajah Rania pula dikatakan salinan wajah ayahnya.

Tidak ada sesiapa pun yang tidak cemburukan kebahagiaan yang dicipta oleh Arini dan Dani. Biarpun sudah lebih sepuluh tahun berumahtangga namun rumahtangga mereka sentiasa hangat, segar dan mewangi. Malahan di kalangan rakan-rakan ada yang secara terang-terangan mengakui betapa irinya mereka melihat keutuhan Arini dan Dani memelihara cinta. Arini pula dijadikan tempat merujuk juka ada rakan-rakan yang berumahtangga menghadapi masalah. Berbekalkan pengalaman sendiri, Arini biasanya mampu meringankan beban orang lain dengan nasihat-nasihat atau pandangannya yang sederhana.

Tapi sekeping kad cinta berwarna merah hati di tangan Arini ini memadam segala-galanya. Arini terpukul. Penipuan apakah yang sedang dicipta oleh Dani? Dan sandiwara apakah yang sedang dilakonkan oleh suaminya dalam rumahtangga mereka? Itulah yang membuatkan kepala Dani semakin berdenyut.

Daging, ikan dan sayur yang baru dibawa dari pasar masih terletak di atas meja. Arini sudah tidak berselera memilih menu kesukaan Dani. Berpesan kepada Mak Tijah agar memasak apa saja dan jangan mengganggu dirinya. Arini masuk ke bilik dan mengunci diri. Dia mahu berkurung di situ. Dia mahu mencari kekuatan diri. Dia juga mahu merangkai kata-kata yang munasabah bagi berdepan dengan Dani sepulangnya dari pejabat nanti. Malahan dia akan bertanya terus-terang siapa Lily di hatinya sekarang. Arini mahu mengumpul segala kekuatan itu.

Kenangan tentang Lily kembali melayang di kotak fikir Arini. Dia kenal gadis yang hampir sebayanya itu ketika mereka masih remaja. Mereka kerap bertemu kerana pejabat masing-masing agak berdekatan. Lily memang cantik. Wajahnya jadi idaman ramai lelaki malahan redup matanya turut memukau Dani. Arini sedar betapa kagumnya Dani pada Lily ketika itu malahan kedua-duanya sempat menjalin kasih untuk beberapa ketika. Entah kerana apa, kasih itu terputus begitu sahaja.

Arini tiba-tiba jatuh ke pelukan Dani. Cinta tumbuh secara perlahan dan tanpa sengaja. Namun ketika menyedari Dani menyukai Lily, Arini tidak berkutik. Dia membiarkan Dani membuat pilihan. Tidak ada desakan atau paksaan apabila Dani akhirnya memilih Arini dan melupakan Lily. Kisah kasih itu tamat apabila Dani secara sah menyarungkan cincin ke jari Arini dan mengakui bahawa di hatinya tidak ada gadis lain selain Arini.

Kata Dani, senyuman Arini lebih ikhlas, pandangan mata Arini yang bulat, penuh dengan cahaya cinta dan raut wajah Arini begitu sejuk untuk dia menaung kasih. Jangan sebut lagi nama Arini atau gadis-gadis lain, semuanya sudah lenyap apabila dia pilih Arini.

Tapi kenapa hari ini ada kad cinta untuk Lily? Itulah yang membuatkan Arini hampir pitam. Apa muslihat Dani. Sedangkan dia amat pasti, Lily sudah ada suami dan anak-anak. Dari kata-kata yang tertulis indah di situ, Arini tahu bahawa kad cinta itu sudah kerap mendapat balasan. Arini nekad. Dia tidak akan berlengah. Dia pasti akan bertanya pada Dani, apakah dia juga kerap mendapat kad cinta dari Lily.

Hati Arini berserabut ketika dia mendengar deru enjin kereta Dani petang itu. Namun sebagai wanita intelek, Arini akan bersikap profesional. Dia ke bilik air menyegarkan wajah dan menyambut kepulangan Dani seperti biasa. Air limau sejuk kegemaran suaminya tetap dihidang tanpa kurang rasanya. Senyuman Dani tetap dibalas. Malahan cium di dahi yang diberikan oleh Dani, dibalas dengan mencium tangan suaminya itu seperti hari-hari semalam. Sedikitpun tidak ada perbuatannya yang luak, biarpun hatinya kini amat rabak.

Malam itu selepas makan malam dan menjenguk kerja sekolah anak-anak, Arini berbaring manja di dada Dani. Lelaki tampan itu seperti selalu akan mengusap-usap lembut rambut wangi Arini. Wajah mulus Arini ditatap legat dan sebuah ciuman cinta diberikan seperti biasa. Tidak sedikitpun ada yang berubah. Kalau bukan kerana kad merah itu, sampai mati pun Arini tidak tahu, bahawa selain dirinya, Lily juga sedang bergayut di hati Dani.

Arini mencari peluang untuk mendapatkan penjelasan. Tapi ia tidak mahu dianggap cemburu buta. Kerana itu, Arini sengaja membawa kenangan-kenangan lama dalam perbualan mereka, sehingga terkeluar cerita tentang Lily. Namun bila nama itu disebut oleh Arini, wajah Dani tidak berubah sedikitpun. Seolah-olah tiada yang ganjil pada nama itu.

"Abang saya terjumpa sekeping kad untuk Lily. Apakah abang yang menulis kad itu?"

Dani berhenti dari mengelus rambut Arini. Dia menatap wajah isterinya tanpa kedip. "Kad untuk Lily. Bagaimana ada di tangan Rini?"

Pertanyaan itu tidak dijawab oleh Arini kerana soalannya juga tidak dijawab oleh Dani. "Abang, kita adalah orang-orang yang sudah dewasa. Tak usah bohong, berterus-teranglah, kenapa abang menulis kad itu untuk Lily?'

Dani terdiam. Mungkin mencari kata-kata yang tepat untuk menjawab pertanyaan Arini. Lama dia membisu. Arini tidak mendesak tetapi terus menanti. Selepas mengeluh beberapa kali akhirnya Dani memberi kata pasti.

"Memang kad itu untuk Lily dan abanglah penulisnya. Usah ditanya sebab kenapa kad itu ditujukan untuk Lily, kerana abang memang tidak ada jawapannya. Abang sendiri tidak tahu kenapa abang kembali menjalin cinta bersamanya. Lily ada suami dan anak-anak. Abang juga milik Arini dan dua anak kita. Namun percayalah, cinta kasih dan sayang abang untuk Rini tak pernah luak malahan makin melimpah."

Arini ketawa mendengar penjelasan Dani. Dia bukan mentertawakan kata-kata Dani tetapi mentertawakan dirinya. Betapa mudahnya Dani membuat kenyataan. Dia tidak tahu kenapa dia kembali bermain cinta dengan isteri orang. Dan dia juga berani bertaruh bahawa hatinya tidak berubah walau seinci pun untuk Arini, Rania dan Dania. Benarkah? Arini tahu semua itu bohong belaka tetapi pengakuan Dani tentang cintanya adalah benar.

"Esok saya mahu berjumpa Lily." Begitu selamba Arini menyuarakan hasratnya. Arini menarik selimut dan memejamkan mata. Dia sudah bertanya dan sudahpun mendapatkan jawapannya. Esok dia mahukan satu lagi kepastian.

Seawal pagi Arini sudah bangun. Selepas menyiapkan anak-anak untuk ke sekolah dan menaikkan mereka ke dalam bas, Arini bersiap-siap. Di meja makan, dia melayan Dani seperti biasa. Menuangkan kopi pekat kesukaan Dani dan menyapukan roti bakar dengan mentega, sambil menanti telur separuh masak siap untuk dikacau.

Dani hanya memandang Arini tanpa suara. Dia melihat ada kesungguhan pada Arini terhadap kata-katanya semalam. Malahan Arini tidak menunjukkan bahawa dia akan membatalkan hajatnya itu.

"Betul awak nak jumpa Arini hari ini."

Arini yang sedang sibuk mengaduk telur separuh masak itu, berhenti sebentar dan memandang suaminya. " Apakah abang fikir saya sedang main-main. Tidak! Saya tidak main-main. Saya sedang mempertahankan rumah tangga saya dan suami saya. Kalau abang mahu bersama-sama mempertahankannya, marilah kita pergi bersama."

Dani terdiam tetapi dia juga tidak ada upaya untuk membantah. Dia membisu sepanjang perjalanan menuju ke pejabat Lily. Lily pasti terkejut kerana yang datang bukan Dani seorang tetapi bersama Arini.

Dari jauh Arini sudah dapat mengenali Lily. Biarpun sudah sedikit berubah tetapi kecantikan Lily masih terserlah. Mungkin kerana duduk di dalam kereta, Lily tidak sedar kehadiran Arini. Sebaliknya dia sibuk menggenggam tangan Dani. Ketika Dani menunjukkan Arini, Lily seperti terpempan, terkejut dan agak malu. Arini mendekati mereka tanpa emosi. Tangan dihulur pada Lily dan disambut perlahan oleh wanita itu. Sebelah tangan lagi, Arini memegang kejap tangan suaminya. Dia seolah-olah memberitahu Lily, ini suamiku. Hanya aku yang berhak memegangnya.

"Lily apa khabar. Tak sangka kita berjumpa lagi. Tapi berterus-terang aku tidak suka pada pertemuan seperti ini. Dan kerana kita sudah berjumpa, aku mahu perkenalkan padamu bahawa ini suamiku, Dani. Dia milikku dan milik anak-anakku. Jangan ambil suamiku dan lupakan masa silam kalian. Pusingkan kepalamu. Di rumahmu ada suami dan anak-anak yang menanti teduh kasihmu. Jangan mencari sinar pelangi, habis petang hilanglah ia. Sama ada Dani atau Rafli suamimu, sama sahaja. Kedua-duanya lelaki yang boleh memberikan cinta jika kau sendiri memberikan kasih seikhlas hatimu. Kenapa mencari kebahagiaan di tempat lain sedangkan di rumah sendiri kau boleh mencipta syurga jika kau mahu."

Lily diam terpaku. Dani memegang erat tangan Arini. Mungkin dia sendiri tersedar di sebalik kata-kata yang ditujukan untuk Lily, ia juga tersirat untuk dirinya.

"Pulanglah Lily... Jangan menganyam kasih di bumbung orang lain sedangkan di bumbung rumahmu sendiri ada yang kesepian. Jika bumbung kita bocor, sama-samalah kita baiki. Jangan tumpang teduh di tempat lain."

"Lily aku tidak datang sebagai musuhmu, tapi aku datang untuk memberitahumu bahawa kau sudah tersalah jalan. Bahawa kau sudah tersalah memimpin tangan suamiku. Sedangkan suami dan anak-anakmu terkapai-kapai mencari di manakah tangan lembutmu. Sekarang jangan lagi pimpin tangan suamiku. Dia sudah ada aku, Rania dan Dania. Tangan kami sudah penuh di genggamannya. Kalau selama ini dia keliru kerana memimpin tangannya, aku maafkan dia. Aku juga maafkan kamu."

Arini memandang Dani. Perlahan dia bersuara. "Abang saya sudahpun melakukan apa yang sepatutnya saya buat. Kalau abang rasa saya tersilap, bimbinglah saya tapi jika abang rasa, abang mahu menyerahkan kad merah ini pada Lily, saya akan pulang sendiri dan abang tidak mungkin dapat memimpin tangan saya lagi."

Dani teleku. Kad merah yang dikeluarkan oleh Arini dari sampul merah hati itu dipandangnya. "Arini musnahkanlah kad itu. Abang tidak mahu melihatnya lagi. Memandangnya, seperti abang memandang kekeliruan sendiri. Pun begitu, kad merah inilah sebenarnya yang menyedarkan abang bahawa abang sudah ada cinta sejati. Abang sudah ada Arini. Jika Arini tidak bertemu kad itu, sudah pasti abang terus meniti jalan keliru ini."

Dani memimpin Arini ke kereta mereka. Sebelum itu dia menoleh pada Lily. "Maafkan aku kerana menyambut salammu dulu. Namun terima kasih kerana sudi memberi ruang padaku untuk menikmati masa-masa silamku. Aku terlupa masa itu sudah berlalu."