April 07, 2005

Cerpen Pilihan : Aduhai Adura

Bila segala janji menjadi mungkir dan bila setiap patah yang terbit dari sehelai lidah bersulam dusta tiada yang manis lagi pada kasih sayang kita. Setiap detik curiga bernoda. Katamu dulu, sekali kita berbohong akan memungkinkan kali kedua, kali ketiga seterusnya penipuan itu terpaksa kita ulang-ulang. Memang mudah melafazkan ungkapan berbau pepatah, bidalan pun pendirian tapi amat payah untuk mengotakannya.

"Zahim pulang bang." Bagai halilintar berdengung di telingaku bila nama itu disebut. Walaupun aku punya tali yang kukuh yang mengikat Adura tapi hati ini masih terasa goyah. Masih rasa tidak selamat.

"Dura jumpa dia?" tanyaku yang cuba berlaku tenang sedang di hati berkocak tak keruan.


"Dia ada telefon," jawab Adura. "Mana dia tahu nombor telefon di sini?"


"Alah bukannya susah," jawab Adura mudah. Seolah-olah bukan satu kejutan bila orang yang cuba dilupakan muncul semula secara tiba-tiba. "Kami sekadar bertanya khabar." ujar Adura jujur. Dia seakan dapat membaca rasa hatiku. Hanya aku yang mungkin tidak mampu menjadi pasangan yang sesempurnanya. Sering mengabaikan dia dengan pengagihan masa yang tidak adil. Aku lebih memberatkan kerjayaku berbanding dia.


"Tapi abang cemburu." Tiada guna berbohong tentang perasaan sendiri.


"Dura tahu." Jawapan itu seolah menyapu bersih kemerut yang sedang bergerut di kepingan hatiku.

Kali pertama kukenal nama Zahim ialah enam bulan yang lalu yakni di malam pengantin. Di dadaku Adura bercerita tentang Zahim, Kekasih yang terpaksa dilupakan demi menurut kehendak orang tuanya. Pilihan jodoh ibu untukku memang bertepatan. Adura bukan sahaja cantik tetapi seorang anak yang baik. Pengorbanan Adura akan kukenang selamanya dan tidak mungkin kupersiakan.


Sesekali pernah kurasa bersalah kerana mengkhianati cinta Adura pada kekasihnya. Adura terpaksa curang pada Zahim kerana lamaranku. Ah, memang jodoh kami. Dari azali lagi ditentukan Tuhan.


"Dura tak menyesal memilih abang?" tanyaku lembut.


Dia menggeleng kepala. "Dura akan cuba melupakan dia," ucapnya seperti berikrar.


Aku tahu, tak mudah untuk berbuat demikian dalam waktu yang singkat. Memori percintaan yang tersimpul selama enam tahun itu tidak mungkin akan terkikis semuanya. Aku mengerti cuma rasa cintaku mungkin kebahagiaannya. Kebahagiaannya bersamaku akan menghanyutkan kenangan silam. Aku mahu mengganti kasihnya. Aku mahu membahagiakannya. Itulah janjiku.


Adura berjumpa dengan Zahim! Itulah yang tertulis dalam diarinya. Aku dengan tidak sengaja membacanya. Hari demi hari aku menanti supaya dia membuka mulut memberitahu tentang itu. Tapi penantianku tersia. Mungkin tidak penting! Aku cuba memujuk hati. Seorang isteri bertemu secara rahsia dengan bekas kekasihnya bukan sesuatu yang penting? Ah, mengarut!


"Dura, Dura tak bahagia hidup dengan abang?" Aku cuba menyelongkar hatinya, berbicara dari hati ke hati. Selama ini kami sedang belajar mengenal hati budi masing-masing. Kami sebenarnya sedang bercinta. Bercinta selepas kahwin kukira, punya kenikmatan yang lebih asli.


"Abang?" Dia memulangkan kembali soalan itu kepadaku.


"Abang menyintai Dura sepenuh hati." Dia tersenyum. Manis sekali senyuman laksana bulan penuh itu.


"Dura juga bang tapi kadang-kadang Dura terasa kekosongan," luahnya sambil menggenggam erat jemari kasarku. "Dura terasa selalu dipinggirkan oleh kesibukan abang."


Urai rambutnya yang panjang kubelai mesra. "Itu tandanya abang sayangkan Dura, Abang bekerja kuat demi kebahagiaan kita, sayang," ucapku.


"Bila kita nak ada anak, bang?" tanyanya tiba-tiba. Ah, aku selalu tertunggu-tunggu juga berita gembira itu. Ibu dan ayah asyik merisik dariku kalau-kalau Adura muntah-muntah. Mereka tidak sabar lagi untuk menimang cucu pertama.


"Dura tak sabar lagi mahu menjadi ibu?" Aku menduganya.


"Kita bersabar sayang. Tuhan bersama orang-orang yang sabar," ucapku dalam keharuan. Kukira enam bulan sudah cukup lama penantian kami. Kalau kawan-kawan lain, tiga bulan berkahwin sudah mendapat berita gembira, isteri mereka mengidam atau muntah-muntah.


Tiada rezeki lagi. Kata-kata itulah penawar penantianku. Memang aku mahu cepat-cepat menimang cahaya mata. Umurku bukan muda lagi untuk menanti beberapa tahun lagi. Aku bujang terlajak yang puas dipujuk oleh ibu supaya menamatkan zaman bujangku. Akhirnya aku dijodohkan dengan Adura. Gadis desa yang sedang menanti kekasihnya pulang dari luar negara.


Adura bukan orang lain dengan keluarga kami. Bau-bau bacang juga. Ibu tidak mahu memilih orang jauh. Takut susah kalau berlaku sakit pening, katanya. Mungkin aku tiada pilihan sendiri. Jadi kuserah bulat-bulat kepada ibu. Aku tak pandai bercinta. Mendekati perempuan pun aku gementar. Ibu mencari gadis yang mengikut citarasanya. Biarlah asalkan ibu senang.


14 Februari - aku dan Zahim berjumpa lagi. Zahim menghadiahkan sebentuk kerongsang sempena Hari Kekasih ini. Walaupun sekejap pertemuan itu tapi kurasa cukup bahagia...


Diari wangi Adura kubuka lagi tanpa pengetahuannya. Kali ini aku semakin gelisah. Gelisah dan tercabar. Dalam diam kuatur pertemuan dengan Zahim. Memang kami perlu bersemuka sebagai anak jantan. Aku tidak mahu dia merosakkan hati Adura dan menghancurkan rumahtangga kami yang bahagia tanpa rasa curiga. Adura setia padaku sebelum kehadirannya. Adura tidak pernah melanggar hatiku. Dia selalu jujur padaku sejak pertama kali mengenalinya lagi. Tapi segalanya musnah bila Zahim muncul.


"Saya tahu saya yang merampas Adura dari saudara Zahim tapi kini Adura milik saya. Kami bahagia," luahku penuh kematangan.


"Saya tidak pernah terniat untuk mengganggu keharmonian rumahtangga Encik Karlid dengan Adura. Saya gembira bila mendapat tahu Adura bahagia. Adura selalu bercerita tentang Encik Karlid pada saya," tutur Zahim. Tampak perwatakannya seperti orang baik-baik. Aku membuat penilaian pertama.


"Kami sekadar mahu melepaskan rindu yang sekian lama tertanam di hati," sambungnya.


"Saudara Zahim tentu arif soal hukum menemui isteri orang tanpa pengetahuan suaminya bukan?"


Dia mengangguk. "Saya tahu saya berdosa tapi saya tidak berdaya menahan gelora perasaan. Saya masih mencintai dia."


Aduh, terjerut hatiku dengan pengakuan itu. Mahu saja aku meninju mukanya. Tapi aku masih mempunyai kesabaran yang menahan aku bertindak melulu begitu.


"Saya akan cuba melupakan dia," janji Zahim mulus. Anak muda seawal 25 tahun itu berlalu meninggalkan aku sendiri. Anak muda itu punya darah panas yang mudah bergelora. Terlalu mengikut kata hati tanpa mengira akibat di kemudian hari. Dia masih mentah. Maafkan dia! Itulah permintaan hatiku.


"Dura ada berita gembira untuk abang," lembut suara Adura sesungguhnya mencairkan hatiku.


"Boleh abang tahu?" "Dura mengandung, bang."


Kalimat itulah yang selama ini kutunggu-tunggu.


"Sungguh?" Dia mengangguk. Kali ini aku menjerit kegembiraan. Aku akan menjadi seorang ayah dan Adura pula akan menjadi seorang ibu. Tiada siapa lagi yang bisa mengganggu kesejahteraan hidup kami. Aduhai, kegembiraan ini tidak terlukis rasanya. Lengkaplah pohon cinta kami kalau ia berbuah nanti.

Kubelek-belek diari Adura, tiada lagi pertemuan dengan Zahim tertulis di situ. Cuma kegembiraan untuk menimang cahaya mata dicoretkan. Lapan bulan lagi pasti impian kami termakbul. Mungkin Zahim telah mengotakan janjinya. Kalau sebelum ini Adura pernah berlaku tidak jujur padaku, aku maafkan. Kemaafan tanpa seulas pun rasa curiga.


II



Zahim, kau kekasih di hati. Kau pujaan di jiwa tapi seluruh impian kita punah terbakar. Mungkin aku yang bersalah, mengkhianati janji dan sumpah kita. Aku punya ibu dan ayah. Permintaan mereka tidak mampu kulanggar. Melanggar bermakna melukakan hati mereka. Melukakan bermakna aku derhaka, Zahim.


Zahim, aku telah melahirkan Fitri untukmu. Lambang kasih sayang kita. Matanya, alisnya dan hidungnya menyerupaimu, Zahim. Tiada satu pun milik Karlid yang bertindan di wajah anak kita.


Karlid masih lagi bergembira, bermegah-megah dengan zuriat itu. Setiap hari dia merangkul erat Fitri. Kalau Fitri merengek laparkan susu atau hilang keselesaan Karlidlah yang pertama terjaga, menukar lampin, membancuh susu atau mendodoi sehingga Fitri terlena semula. Kadang-kadang aku terbayang wajahmu di wajah Karlid ketika dia menyanyikan lagu buat Fitri. Kalau ditakdirkan mimpi kita serupa seperti yang direncanakan tentu kau akan menyayangi Fitri seperti Karlid menyayangi Fitri. Aku bersalah padamu, Zahim! Maafkan aku...

Air mataku menitis kali ini tatkala menatap surat tulisan Adura yang kukira mahu dikirim untuk Zahim. Kertas berwarna biru yang masih terlekat pada himpunannya itu kuletakkan seperti asalnya. Hatiku terkedu. Aku tidak galak lagi melayan kerenah Fitri walaupun kasihku pada Fitri seperti minyak penuh, seperti air yang mengalir. Kubiarkan dia menangis berpanjangan sebelum diangkat oleh Adura. Seharian aku tidak pulang ke rumah walaupun telefon berdering-dering memanggilku di pejabat.


Dayuskah aku? Peperangan di hati semakin berat melanda. Gambar perkahwinan dalam bingkai kaca di atas meja kudakap di dada. Aduhai Adura, mengapa kau mendustai aku? Waktu kupulang lewat petang itu, aku tidak terus mencium pipi Fitri seperti selalu. Rinduku kepada Fitri hilang tiba-tiba. Adura kehairanan dengan sikap baruku itu.








"Abang dah makan?" tanyanya mendekatiku dan cuba memecat dasi di leherku. Fitri diletakkan di ribaku tapi aku menolak. Adura seperti tersinggung.


"Apa gunanya perkahwinan ini, Dura kalau antara kita hidup dalam kepuraan." Terlalu lama aku dibohongi. Kali ini aku mahu Adura berkata jujur padaku. Jujur seperti dia jujur di malam pertama kami.


"Abang baca surat Durakan? Dura lihat kertas itu seperti rosak," tekanya tepat.


"Mengapa tidak sendiri Dura yang berkata pada abang selama ini," sebakku menghiris hati. Mataku berkaca. Sayangku pada Adura tiada batasnya. Seluas lautan membiru setinggi gunung yang mencapai awan.


"Ya! Dura menipu abang selama ini. Dura berdosa pada abang," ucapnya dalam tangisan yang memilukan. Fitri turut menangis. Tangisan Fitri melenyapkan tangisan Adura.


Lewat petang rumah kami dikunjungi oleh Zahim. Mahu apakah lagi dia setelah meranapkan segalanya?


"Encik Karlid," sapanya ketika aku melangkah ke tangga atas tanpa mempedulikannya. Dia tetamu yang tidak diundang dan dia datang bukan untukku.


"Saya minta maaf." Tangan yang dihulurkan tidak dihiraukan.


"Saya mahu mengambil Adura sebagai isteri saya," ucapnya membuat hatiku tiba-tiba terbakar. Marak dan merah.


"Awak tahu apa yang awak cakap? Sebelum saya halau awak baik awak keluar dari rumah saya sekarang," bentakku kasar dan keras, Zahim akhirnya bangun dan beredar pergi.


Menerima Adura seperti aku mendukung biawak hidup. Aku seperti memijak maruahku sendiri. Maruah seorang lelaki, seorang suami. Ah, apa gunanya perkahwinan ini lagi kalau hanya aku yang berusaha mempertahankannya daripada runtuh.


Segala noda yang tercalit tak mampu kuselindungi lagi. Apa gunanya ikatan suci ini kalau ia bernoda dengan seribu dosa. Berhari-hari kufikirkan tentang masa depanku. Hari-hari bahagia bersama Adura, bersama Fitri yang mati-mati kuanggap darah dagingku sendiri sirna sudah. Aku merintih sendiri.



"Adura, aku maafkan segala dosamu kerana menodai segala harapanku dan meruntuhkan cinta, kasih dan sayangku yang menggunung tapi untuk hidup seperti dulu tidak mampu kulakukan. Aku menyeksamu, Dura. Maafkan aku."


"Abang tak bersalah. Dura yang bersalah. Hukumlah Dura tapi jangan lepaskan Dura, bang! Dura tidak mahu melukakan hati ibu dan ayah," rintihnya.


"Adura, aku ceraikan dirimu," lafazku dengan gementar dan payah. Hanya itu jalan penyudahnya walaupun tiang arasy bergoncang dengan kalimat itu. Aku terpaksa. Kusangka aku sangkar yang membahagiakan tapi rupanya aku adalah penjara yang mengurung, menyeksa hidupnya. Terbanglah Adura setelah besi penjara kuruntuhkan.


"Abang!" Adura memelukku sambil meratap hiba. Aku menolak. Aku tidak layak lagi menerima pelukan itu...










Sehabis eddah kuterima undangan perkahwinan daripada Adura. Air mata lelaki tumpah lagi. Aduhai Adura! Aku tidak mampu membencimu. Oh Tuhan, mengapa terlalu lemah aku? Adura tidak layak dicintai, dikasihi dan disayangi. Berkali-kali aku cuba memujuk hati untuk melupakan Adura. Dia bukan untukku. Dia tidak layak kuletakkan di tempat yang suci itu, menjadi isteri dan berlindung di ufuk kasihku.

Tiga bulan pernikahan itu, aku menerima warkah daripada Adura. Adura mahu kembali kepadaku. Mujur ketika itu aku sudah memiliki Sofia. Juga gadis pilihan ibu. Kalau tidak, tentu terusan aku masih memikirkan Adura dan tidak mustahil kalau hatiku terbuka lagi untuk menerima maaf daripadanya. Kejadian kaum Hawa untuk membahagiakan kaum Adam seperti juga Hawa dijadikan dari rusuk kiri untuk mengisi kesepian Adam di syurga. Baru ini aku merasakannya.


Abang, baru kini Dura merasakan cinta yang dijulang tidak akan ada rasa manisnya tanpa restu yang mengiringi. Dura sangka bahagia akan melimpah hidup bersama kekasih tercinta tapi rupanya anganan itu cuma sekadar mimpi yang berpenghujung. Dura dihina oleh keluarga Zahim. Dura tidak diterima sebagai anak menantu. Fitri tidak diakui sebagai zuriat keluarga terhormat itu. Hidup kami penuh derita, bang! Mungkin ini balasan Tuhan di atas dosa Dura pada abang. Ampuni Dura, bang!


Zahim tidak teguh mempertahankan orang yang disayanginya. Kasih Zahim lerai dan layu. Kami mengambil keputusan berpisah. Hanya itu yang terbaik. Dura mahu merebut semula kasih keluarga tercinta yang terlepas bila memilih hidup bersama Zahim dulu.


Dura mahu kembali pada abang. Kalau perlu mengemis pun, Dura sanggup bang, asalkan langit yang memayung kehidupan Dura kembali cerah seperti dulu. Dura tahu selama ini segala madu yang abang limpahkan, Dura balas dengan tuba tapi berilah peluang untuk Dura menebus segalanya...


Surat Adura lumat di genggaman. Cintanya layu di hatiku kini.

No comments: