Tiba-tiba sahaja Arini berasa seperti disengat lebah. Kad baldu berwarna merah hati dipegang kemas. Tinta berwarna emas dengan kata-kata syahdu menusuk kalbu itu bagaikan sembilu menujah hati Arini. Kad itu memang bertanda tangan suaminya. Malahan ada kata-kata cinta sebagai menguatkan lagi puisi kasih yang sudah sedia tertera di kad itu. Tapi kata-kata manis dan memujuk rayu itu, memang sah bukan untuk Arini. Ia ditulis oleh suaminya untuk wanita lain. Lily buah hatiku! Nama itu yang terpampang cantik di dalam kad tersebut.
Arini hanya mampu memegang kepalanya yang terasa berat. Dia tidak sangka bahawa kad yang bukan ditujukan kepadanya itu, terjatuh juga ke tangannya secara tidak sengaja. Tuhan memang sengaja menguji keutuhan rumah tangganya.
Kalau bukan tulisan suaminya yang sudah hafal di otak Arini terpampang di kad tersebut, mungkin Arini akan menyangkal prasangka buruk itu. Sangat mustahil rasanya Dani bersikap seperti itu. Dani suami penyayang. penuh romantis, sentiasa memuja dirinya dan amat menyintainya dan dua puteri mereka yang sedang membesar. Rania, tujuh tahun dan Dania lima tahun.
Kedua-dua puteri itu tumbuh sebagai anak gadis yang sihat dan jelita. Malahan Dania seperti pinang dibelah dua dengan Arini. Wajah Dania saling tak tumpah seperti wajah Arini 25 tahun dahulu. Ketika gambar Dania dan Arini dalam usia yang sama digandingkan, sukar untuk mencari perbezaan di antara kedua-duanya. Agaknya kerana itulah Dania lebih manja dengan Dani, manakala Rania lebih banyak bergayut dengan Arini. Wajah Rania pula dikatakan salinan wajah ayahnya.
Tidak ada sesiapa pun yang tidak cemburukan kebahagiaan yang dicipta oleh Arini dan Dani. Biarpun sudah lebih sepuluh tahun berumahtangga namun rumahtangga mereka sentiasa hangat, segar dan mewangi. Malahan di kalangan rakan-rakan ada yang secara terang-terangan mengakui betapa irinya mereka melihat keutuhan Arini dan Dani memelihara cinta. Arini pula dijadikan tempat merujuk juka ada rakan-rakan yang berumahtangga menghadapi masalah. Berbekalkan pengalaman sendiri, Arini biasanya mampu meringankan beban orang lain dengan nasihat-nasihat atau pandangannya yang sederhana.
Tapi sekeping kad cinta berwarna merah hati di tangan Arini ini memadam segala-galanya. Arini terpukul. Penipuan apakah yang sedang dicipta oleh Dani? Dan sandiwara apakah yang sedang dilakonkan oleh suaminya dalam rumahtangga mereka? Itulah yang membuatkan kepala Dani semakin berdenyut.
Daging, ikan dan sayur yang baru dibawa dari pasar masih terletak di atas meja. Arini sudah tidak berselera memilih menu kesukaan Dani. Berpesan kepada Mak Tijah agar memasak apa saja dan jangan mengganggu dirinya. Arini masuk ke bilik dan mengunci diri. Dia mahu berkurung di situ. Dia mahu mencari kekuatan diri. Dia juga mahu merangkai kata-kata yang munasabah bagi berdepan dengan Dani sepulangnya dari pejabat nanti. Malahan dia akan bertanya terus-terang siapa Lily di hatinya sekarang. Arini mahu mengumpul segala kekuatan itu.
Kenangan tentang Lily kembali melayang di kotak fikir Arini. Dia kenal gadis yang hampir sebayanya itu ketika mereka masih remaja. Mereka kerap bertemu kerana pejabat masing-masing agak berdekatan. Lily memang cantik. Wajahnya jadi idaman ramai lelaki malahan redup matanya turut memukau Dani. Arini sedar betapa kagumnya Dani pada Lily ketika itu malahan kedua-duanya sempat menjalin kasih untuk beberapa ketika. Entah kerana apa, kasih itu terputus begitu sahaja.
Arini tiba-tiba jatuh ke pelukan Dani. Cinta tumbuh secara perlahan dan tanpa sengaja. Namun ketika menyedari Dani menyukai Lily, Arini tidak berkutik. Dia membiarkan Dani membuat pilihan. Tidak ada desakan atau paksaan apabila Dani akhirnya memilih Arini dan melupakan Lily. Kisah kasih itu tamat apabila Dani secara sah menyarungkan cincin ke jari Arini dan mengakui bahawa di hatinya tidak ada gadis lain selain Arini.
Kata Dani, senyuman Arini lebih ikhlas, pandangan mata Arini yang bulat, penuh dengan cahaya cinta dan raut wajah Arini begitu sejuk untuk dia menaung kasih. Jangan sebut lagi nama Arini atau gadis-gadis lain, semuanya sudah lenyap apabila dia pilih Arini.
Tapi kenapa hari ini ada kad cinta untuk Lily? Itulah yang membuatkan Arini hampir pitam. Apa muslihat Dani. Sedangkan dia amat pasti, Lily sudah ada suami dan anak-anak. Dari kata-kata yang tertulis indah di situ, Arini tahu bahawa kad cinta itu sudah kerap mendapat balasan. Arini nekad. Dia tidak akan berlengah. Dia pasti akan bertanya pada Dani, apakah dia juga kerap mendapat kad cinta dari Lily.
Hati Arini berserabut ketika dia mendengar deru enjin kereta Dani petang itu. Namun sebagai wanita intelek, Arini akan bersikap profesional. Dia ke bilik air menyegarkan wajah dan menyambut kepulangan Dani seperti biasa. Air limau sejuk kegemaran suaminya tetap dihidang tanpa kurang rasanya. Senyuman Dani tetap dibalas. Malahan cium di dahi yang diberikan oleh Dani, dibalas dengan mencium tangan suaminya itu seperti hari-hari semalam. Sedikitpun tidak ada perbuatannya yang luak, biarpun hatinya kini amat rabak.
Malam itu selepas makan malam dan menjenguk kerja sekolah anak-anak, Arini berbaring manja di dada Dani. Lelaki tampan itu seperti selalu akan mengusap-usap lembut rambut wangi Arini. Wajah mulus Arini ditatap legat dan sebuah ciuman cinta diberikan seperti biasa. Tidak sedikitpun ada yang berubah. Kalau bukan kerana kad merah itu, sampai mati pun Arini tidak tahu, bahawa selain dirinya, Lily juga sedang bergayut di hati Dani.
Arini mencari peluang untuk mendapatkan penjelasan. Tapi ia tidak mahu dianggap cemburu buta. Kerana itu, Arini sengaja membawa kenangan-kenangan lama dalam perbualan mereka, sehingga terkeluar cerita tentang Lily. Namun bila nama itu disebut oleh Arini, wajah Dani tidak berubah sedikitpun. Seolah-olah tiada yang ganjil pada nama itu.
"Abang saya terjumpa sekeping kad untuk Lily. Apakah abang yang menulis kad itu?"
Dani berhenti dari mengelus rambut Arini. Dia menatap wajah isterinya tanpa kedip. "Kad untuk Lily. Bagaimana ada di tangan Rini?"
Pertanyaan itu tidak dijawab oleh Arini kerana soalannya juga tidak dijawab oleh Dani. "Abang, kita adalah orang-orang yang sudah dewasa. Tak usah bohong, berterus-teranglah, kenapa abang menulis kad itu untuk Lily?'
Dani terdiam. Mungkin mencari kata-kata yang tepat untuk menjawab pertanyaan Arini. Lama dia membisu. Arini tidak mendesak tetapi terus menanti. Selepas mengeluh beberapa kali akhirnya Dani memberi kata pasti.
"Memang kad itu untuk Lily dan abanglah penulisnya. Usah ditanya sebab kenapa kad itu ditujukan untuk Lily, kerana abang memang tidak ada jawapannya. Abang sendiri tidak tahu kenapa abang kembali menjalin cinta bersamanya. Lily ada suami dan anak-anak. Abang juga milik Arini dan dua anak kita. Namun percayalah, cinta kasih dan sayang abang untuk Rini tak pernah luak malahan makin melimpah."
Arini ketawa mendengar penjelasan Dani. Dia bukan mentertawakan kata-kata Dani tetapi mentertawakan dirinya. Betapa mudahnya Dani membuat kenyataan. Dia tidak tahu kenapa dia kembali bermain cinta dengan isteri orang. Dan dia juga berani bertaruh bahawa hatinya tidak berubah walau seinci pun untuk Arini, Rania dan Dania. Benarkah? Arini tahu semua itu bohong belaka tetapi pengakuan Dani tentang cintanya adalah benar.
"Esok saya mahu berjumpa Lily." Begitu selamba Arini menyuarakan hasratnya. Arini menarik selimut dan memejamkan mata. Dia sudah bertanya dan sudahpun mendapatkan jawapannya. Esok dia mahukan satu lagi kepastian.
Seawal pagi Arini sudah bangun. Selepas menyiapkan anak-anak untuk ke sekolah dan menaikkan mereka ke dalam bas, Arini bersiap-siap. Di meja makan, dia melayan Dani seperti biasa. Menuangkan kopi pekat kesukaan Dani dan menyapukan roti bakar dengan mentega, sambil menanti telur separuh masak siap untuk dikacau.
Dani hanya memandang Arini tanpa suara. Dia melihat ada kesungguhan pada Arini terhadap kata-katanya semalam. Malahan Arini tidak menunjukkan bahawa dia akan membatalkan hajatnya itu.
"Betul awak nak jumpa Arini hari ini."
Arini yang sedang sibuk mengaduk telur separuh masak itu, berhenti sebentar dan memandang suaminya. " Apakah abang fikir saya sedang main-main. Tidak! Saya tidak main-main. Saya sedang mempertahankan rumah tangga saya dan suami saya. Kalau abang mahu bersama-sama mempertahankannya, marilah kita pergi bersama."
Dani terdiam tetapi dia juga tidak ada upaya untuk membantah. Dia membisu sepanjang perjalanan menuju ke pejabat Lily. Lily pasti terkejut kerana yang datang bukan Dani seorang tetapi bersama Arini.
Dari jauh Arini sudah dapat mengenali Lily. Biarpun sudah sedikit berubah tetapi kecantikan Lily masih terserlah. Mungkin kerana duduk di dalam kereta, Lily tidak sedar kehadiran Arini. Sebaliknya dia sibuk menggenggam tangan Dani. Ketika Dani menunjukkan Arini, Lily seperti terpempan, terkejut dan agak malu. Arini mendekati mereka tanpa emosi. Tangan dihulur pada Lily dan disambut perlahan oleh wanita itu. Sebelah tangan lagi, Arini memegang kejap tangan suaminya. Dia seolah-olah memberitahu Lily, ini suamiku. Hanya aku yang berhak memegangnya.
"Lily apa khabar. Tak sangka kita berjumpa lagi. Tapi berterus-terang aku tidak suka pada pertemuan seperti ini. Dan kerana kita sudah berjumpa, aku mahu perkenalkan padamu bahawa ini suamiku, Dani. Dia milikku dan milik anak-anakku. Jangan ambil suamiku dan lupakan masa silam kalian. Pusingkan kepalamu. Di rumahmu ada suami dan anak-anak yang menanti teduh kasihmu. Jangan mencari sinar pelangi, habis petang hilanglah ia. Sama ada Dani atau Rafli suamimu, sama sahaja. Kedua-duanya lelaki yang boleh memberikan cinta jika kau sendiri memberikan kasih seikhlas hatimu. Kenapa mencari kebahagiaan di tempat lain sedangkan di rumah sendiri kau boleh mencipta syurga jika kau mahu."
Lily diam terpaku. Dani memegang erat tangan Arini. Mungkin dia sendiri tersedar di sebalik kata-kata yang ditujukan untuk Lily, ia juga tersirat untuk dirinya.
"Pulanglah Lily... Jangan menganyam kasih di bumbung orang lain sedangkan di bumbung rumahmu sendiri ada yang kesepian. Jika bumbung kita bocor, sama-samalah kita baiki. Jangan tumpang teduh di tempat lain."
"Lily aku tidak datang sebagai musuhmu, tapi aku datang untuk memberitahumu bahawa kau sudah tersalah jalan. Bahawa kau sudah tersalah memimpin tangan suamiku. Sedangkan suami dan anak-anakmu terkapai-kapai mencari di manakah tangan lembutmu. Sekarang jangan lagi pimpin tangan suamiku. Dia sudah ada aku, Rania dan Dania. Tangan kami sudah penuh di genggamannya. Kalau selama ini dia keliru kerana memimpin tangannya, aku maafkan dia. Aku juga maafkan kamu."
Arini memandang Dani. Perlahan dia bersuara. "Abang saya sudahpun melakukan apa yang sepatutnya saya buat. Kalau abang rasa saya tersilap, bimbinglah saya tapi jika abang rasa, abang mahu menyerahkan kad merah ini pada Lily, saya akan pulang sendiri dan abang tidak mungkin dapat memimpin tangan saya lagi."
Dani teleku. Kad merah yang dikeluarkan oleh Arini dari sampul merah hati itu dipandangnya. "Arini musnahkanlah kad itu. Abang tidak mahu melihatnya lagi. Memandangnya, seperti abang memandang kekeliruan sendiri. Pun begitu, kad merah inilah sebenarnya yang menyedarkan abang bahawa abang sudah ada cinta sejati. Abang sudah ada Arini. Jika Arini tidak bertemu kad itu, sudah pasti abang terus meniti jalan keliru ini."
Dani memimpin Arini ke kereta mereka. Sebelum itu dia menoleh pada Lily. "Maafkan aku kerana menyambut salammu dulu. Namun terima kasih kerana sudi memberi ruang padaku untuk menikmati masa-masa silamku. Aku terlupa masa itu sudah berlalu."
No comments:
Post a Comment